Mengapakah soalan ini penting?
Orang yang disyaki dijangkiti COVID-19 perlu tahu dengan cepat sama ada mereka dijangkiti, agar mereka dapat mengasingkan diri, menerima rawatan, dan memaklumkan kontak-kontak rapat. Pada masa ini, jangkitan COVID-19 disahkan dengan menghantar sampel dari hidung dan tekak untuk ujian makmal. Ujian makmal ini, yang dikenali sebagai RT-PCR, memerlukan peralatan khusus, mungkin memerlukan lawatan penjagaan kesihatan ulangan, dan biasanya memerlukan sekurang-kurangnya 24 jam untuk mendapatkan keputusan.
Ujian titik penjagaan pantas dapat memberi keputusan 'sementara anda menunggu', idealnya dalam masa dua jam selepas memberi sampel. Ini dapat membantu mereka mengasingkan diri lebih awal dan mengurangkan penyebaran jangkitan.
Apakah yang ingin kami temui?
Kami berminat dengan dua jenis ujian titik penjagaan pantas, iaitu ujian antigen dan molekul. Ujian antigen mengenal pasti protein-protein pada virus, biasanya menggunakan alat-alat pakai buang. Ujian molekul mengesan bahan genetik virus, menggunakan peranti mudah alih atau alatan atas meja yang kecil. Kedua-duanya menguji sampel hidung atau tekak yang sama seperti ujian RT-PCR.
Kami ingin tahu sama ada ujian titik penjagaan pantas berasaskan antigen dan molekul cukup tepat untuk menggantikan RT-PCR bagi mendiagnos jangkitan, atau untuk memilih orang bagi menjalani ujian lanjut jika keputusan mereka negatif.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang mengukur ketepatan ujian titik penjagaan pantas berbanding ujian RT-PCR untuk mengesan jangkitan COVID-19 semasa. Kajian-kajian menilai sebarang ujian titik penjagaan pantas berdasarkan antigen atau molekul, berbanding ujian rujukan standard. Rujukan standard adalah kaedah sedia ada terbaik untuk mendiagnos jangkitan tersebut; kami menganggap keputusan ujian RT-PCR dan COVID-19 yang ditakrif secara klinikal sebagai ujian rujukan standard. Orang ramai boleh diuji di hospital atau dalam komuniti. Kajian-kajian boleh menguji mereka dengan atau tanpa gejala.
Ujian-ujian tersebut haruslah menggunakan peralatan yang minima, dilakukan dengan selamat tanpa merisikokan jangkitan dari sampel, dan keputusannya tersedia dalam tempoh dua jam setelah sampel dikumpul. Ujian-ujian dapat digunakan di makmal-makmal kecil atau di mana-mana pesakit berada (di rawatan asas, fasiliti perawatan segera, atau di hospital).
Bagaimana kajian-kajian menilai ketepatan ujian diagnostik?
Kajian-kajian menguji peserta dengan ujian titik penjagaan pantas. Peserta diklasifikasikan sebagai diketahui mempunyai - dan tidak mempunyai - COVID-19, oleh RT-PCR dalam semua kajian. Kajian-kajian kemudiannya mengenal pasti kesalahan positif palsu dan negatif palsu dalam keputusan ujian titik penjagaan, berbanding RT-PCR. Ujian positif palsu telah silap mengenal pasti COVID-19 ketika ia tiada, berpotensi menyebabkan pengasingan diri dan ujian lanjutan yang tidak perlu. Negatif palsu tidak dikesan COVID-19 ketika ianya ada, merisikokan pengasingkan diri dan rawatan lewat, dan penyebaran jangkitan.
Apa yang kami temui
Kami menemui 18 kajian yang relevan. Sepuluh kajian berlangsung di Amerika Utara, empat di Eropah, dua di Amerika Selatan, satu di China dan satu di beberapa negara.
Sembilan kajian dengan sengaja memasukkan peratusan tinggi mereka yang disahkan COVID-19 atau hanya memasukkan orang dengan COVID-19. Empat belas kajian tidak memberi maklumat tentang orang-orang yang memberi sampel untuk diuji dan 12 kajian tidak memberi maklumat tempat mereka diuji.
Tiada kajian melaporkan sampel diambil dari orang tanpa gejala.
Keputusan utama
Lima kajian melaporkan lapan penilaian terhadap lima ujian antigen yang berbeza. Secara keseluruhannya, terdapat variasi di antara keputusan ujian-ujian antigen yang dapat mengesan jangkitan COVID-19. Ujian-ujian tersebut memberi keputusan positif palsu kurang 1% dari keseluruhan sampel.
Tiga belas penilaian terhadap empat ujian molekul yang berbeza berjaya mengesan purata 95% sampel dengan jangkitan COVID-19. Sekitar 1% dari sampel memberi keputusan positif palsu.
Jika 1000 orang menjalani ujian molekul, dan 100 (10%) dari mereka benar-benar mempunyai COVID-19:
· 105 orang akan diuji positif untuk COVID-19. Dari jumlah tersebut, 10 orang (10%) tidak dijangkiti COVID-19 (keputusan positif palsu).
· 895 orang akan diuji negatif untuk COVID-19. Dari jumlah tersebut, 5 orang (1%) sebenarnya mempunyai COVID-19 (keputusan negatif palsu).
Kami mendapati perbezaan besar dalam pengesanan COVID-19 di antara dua ujian molekul yang lazimnya dinilai.
Adakah keputusan kajian-kajian boleh dipercayai?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad.
· Tiga perempat kajian tidak mengikut arahan-arahan para pengeluar ujian, oleh itu mungkin menemui hasil yang berbeza jika mereka mengikutinya.
· Kerapkali, kajian-kajian tidak menggunakan kaedah yang paling dipercayai atau tidak melaporkan cukup maklumat untuk menilai kaedah mereka. Ini mungkin telah mempengaruhi anggaran ketepatan ujian, tetapi adalah mustahil untuk mengenalpastinya.
· Seperempat kajian diterbitkan awal dalam talian sebagai 'pracetak' dan termasuk dalam ulasan ini. Pracetak tidak menjalani pemeriksaan ketat biasa seperti kajian yang telah diterbitkan, oleh itu kami tidak pasti kebolehpercayaannya.
Apakah implikasi-implikasi ulasan ini?
Kajian-kajian ini memberi sedikit maklumat tentang para peserta, oleh itu adalah mustahil untuk menyatakan jika keputusannya boleh diaplikasi kepada orang tanpa gejala, gejala ringan, atau yang dirawat di hospital akibat COVID-19. Ujian pantas yang tepat berpotensi untuk memilih orang untuk ujian RT-PCR atau untuk diguna di tempat-tempat yang tiada RT-PCR. Walau bagaimanapun, bukti sedia ada tidak cukup kuat dan lebih banyak kajian diperlukan segera untuk menyatakan jika ujian-ujian ini cukup baik untuk dipraktikkan.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Ulasan ini memasukkan kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 25 Mei 2020. Oleh kerana penyelidikan baru sedang diterbitkan dalam bidang ini, kami akan mengemas kini ulasan ini dalam masa terdekat.
Rabu, 26 Ogos 2020
Diterjemah oleh Syed Amirfaiz. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my