Vaksin RSV selamat dan berkesan, ulasan Cochrane mendapati

Cochrane Malaysia Workshop

Vaksin RSV selamat dan berkesan, ulasan Cochrane mendapati  

Vaksin untuk virus sinsitium pernafasan (RSV) kurangkan risiko jangkitan dalam kalangan orang dewasa lebih berusia dan bayi, ulasan Cochrane baharu telah mendapati.  

Ulasan Cochrane baharu menunjukkan vaksin untuk virus sinsitium pernafasan (RSV) adalah selamat dan berkesan dalam melindungi kumpulan terdedah yang paling berisiko mendapat penyakit serius, termasuk orang dewasa yang lebih berusia dan bayi. 

RSV ialah virus lazim yang menyebabkan batuk dan selsema tetapi juga boleh membawa kepada jangkitan paru-paru yang mengancam nyawa seperti pneumonia. Kanak-kanak di bawah umur dua tahun berisiko tertinggi jangkitan RSV yang teruk dan kematian, dengan orang dewasa yang lebih berusia juga rentan. 

Sekumpulan penyelidik antarabangsa menganalisis 14 kajian klinikal dengan lebih 100 000 peserta, termasuk orang dewasa yang lebih berusia, wanita hamil, wanita dalam usia subur dan kanak-kanak. Kajian dijalankan merentasi pelbagai negara, merangkumi semua benua.

Keputusan menunjukkan bukti kukuh vaksin prefusi RSV dalam kalangan orang dewasa yang lebih berusia mengurangkan penyakit saluran pernafasan bawah (seperti radang paru-paru dan bronkitis) yang berkaitan RSV sebanyak 77% dan penyakit pernafasan akut yang berkaitan dengan RSV (seperti selsema) sebanyak 67%. Vaksinasi individu hamil dengan vaksin berasaskan protein RSV F mengurangkan risiko anak mereka memerlukan rawatan perubatan untuk penyakit saluran pernafasan bawah yang berkaitan RSV sebanyak 54%, mengurangkan peluang bayi untuk penyakit berkaitan RSV yang teruk sebanyak 74%, dan mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 54%.  

"Daripada ulasan kajian klinikal kami menemui bukti kepastian tinggi vaksin RSV melindungi orang dewasa yang lebih berusia dan bukti kukuh ia bermanfaat kepada bayi apabila ibu diberi vaksin semasa hamil. Ia adalah berita menggalakkan untuk dua kumpulan yang paling berisiko.” 

- Kata Dr. KM Saif-Ur-Rahman, pengarang utama dan Pakar Metodologi Penyelidikan Kanan di Evidence Synthesis Ireland dan Cochrane Ireland, University of Galway, Ireland

Ulasan mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan sampingan serius antara kumpulan yang divaksinasi dan yang tidak divaksinasi merentasi semua kumpulan umur. 

Penemuan kajian ini adalah berdasarkan data kajian klinikal, kerana bukti dunia sebenar tentang keberkesanan dan keselamatan belum tersedia pada masa penerbitan. 

"Adalah penting untuk menjelaskan ulasan kami adalah berdasarkan bukti daripada kajian rawak, bukti paling kukuh yang tersedia. Kajian-kajian pasca dunia sebenar sedang berlangsung dan data kajian-kajian tersebut akan terus menambah kepada perkara yang diketahui tentang keselamatan dan keberkesanan vaksin RSV ini.” 

- Kata Kate Olsson, pengarang dan pakar vaksin dari Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC)


Ulasan sistematik dirancang untuk dilengkapi dengan dua analisis tambahan tentang efikasi, keberkesanan dan keselamatan pelbagai vaksin RSV berikutan carian kemas kini. ECDC merancang untuk menerbitkan kemas kini pertama dengan data baharu dalam beberapa minggu akan datang. 

Mengenai ulasan ini: 

Ditugaskan dan disokong oleh Suruhanjaya Eropah dan Agensi Eksekutif Kesihatan dan Digital Eropah (HaDEA) bagi pihak Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC).

 Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (RCSI and UCD, Malaysia campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).