Perbandingan antara penjagaan berasingan dengan penjagaan bersama (rooming-in) ibu dan bayi baru.

Apakah isunya?

Penjagaan bersama (atau sebilik) ibu dan bayi ataupun penjagaan berasingan selepas kelahiran bayi merupakan amalan tradisional dalam pelbagai budaya. Sejak awal abad ke-20, hospital memainkan peranan sebagai tempat lahir bayi di negara-negara perindustrian. Dengan ini, amalan penjagaan berasingan untuk ibu dan bayi baru lahir ditubuhkan. Bayi baru lahir ditempatkan di nurseri yang berasingan dengan ibu di hospital dan akan dibawa ke bilik ibu untuk penyusuan badan sahaja. Amalan penjagaan bersama (atau sebilik) ibu dan bayi semakin berkurangan. Penempatan ibu dan bayi secara berdekatan dalam tempoh awal selepas bersalin boleh mempengaruhi interaksi ibu dengan bayi secara langsung. Seterusnya, ini mendatangkan kesan terhadap tempoh penyusuan susu badan.

Mengapakah isu ini penting?

Pengasingan bayi daripada ibu mereka selepas lahir boleh mengurangkan kekerapan penyusuan dan seterusnya jumlah susu badan yang dihasilkan. Sebaliknya, bayi yang berada bersama ibu sepanjang tempoh di hospital didapati menghisap payu dara ibu dengan lebih kerap. Dengan ini, hubungan dan ikatan bayi-ibu dapat dieratkan. Penjagaan berasingan mungkin membolehkan ibu mendapat rehat dan mengurangkan tekanan, dengan itu mungkin meningkatkan penghasilan susu. Kebanyakan hospital kini mula mengikuti amalan untuk memastikan bayi berada di dalam bilik yang sama dengan ibu, terutamanya sejak pengenalan Inisiatif Hospital Rakan Bayi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada tahun 1991. Ulasan sistematik ini bertujuan untuk menentukan, daripada kajian-kajian rawak terkawal yang berkenaan, sama ada penjagaan berasingan atau penjagaan bersama (atau sebilik) selepas kelahiran bayi mempengaruhi tempoh penyusuan badan secara eksklusif selepas ibu dan bayi pulang dari hospital.

Apakah bukti yang kami dapati?

Pencarian terkini telah dilaksanakan pada 30 Mei 2016. Tiada kajian baru telah dikenal pasti. Hanya satu kajian termasuk dalam ulasan ini.

Satu kajian rawak (melibatkan 176 wanita) dianalisasi dan telah menyediakan maklumat mengenai kadar penyusuan badan secara eksklusif setelah ibu pulang dari hospital. Kami menjumpai bukti berkualiti rendah yang menyatakan penempatan ibu dengan bayi dalam bilik yang sama selepas lahir sehingga mereka pulang dari hospital dapat meningkatkan kadar penyusuan badan secara eksklusif pada empat hari selepas kelahiran. Tiada perbezaan dalam kadar bayi yang menerima penyusuan badan pada umur enam bulan antara kedua-dua kumpulan.

Apakah maksudnya?

Kami mendapati kekurangan bukti untuk menyokong atau menyangkal amalan rawatan gabung selepas kelahiran bayi. Suatu kajian rawak terkawal perlu dijalankan dan ianya perlu melaporkan kesemua hasil kajian yang penting, termasuk tempoh penyusuan badan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teng Jo Ann (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi joann@ms.pmc.edu.my

https://www.cochrane.org/ms/CD006641/perbandingan-antara-penjagaan-bersama-atau-sebilik-ibu-dan-bayi-baru-lahir-dengan-penjagaan