Ulasan Rencana: Ulasan Cochrane baru menyiasat keberkesanan pelbagai bentuk terapi panggantian nikotin dalam bantuan berhenti merokok.

Bukti baru yang diterbitkan hari ini dalam perpustakaan Cochrane memberikan bukti kualiti tinggi bahawa orang menggunakan terapi penggantian nikotin gabungan (sediaan jenis tampalan serta sediaan jenis tindakan pendek, seperti gula-gula getah atau gula gula) mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk berhenti merokok daripada orang yang menggunakan sejenis sediaan ubatan sahaja.

Terapi penggantian nikotin merupakan ubatan yang tersedia  dalam bentuk tampalan kulit, gula-gula getah, semburan mulut dan hidung, inhaler, gula-gula dan tablet yang membawa nikotin melalui badan kepada otak. Di banyak negara, terapi penggantian nikotin boleh didapati daripada golongan profesional kesihatan dan juga daripada kaunter (over-the-counter OTC) tanpa preskripsi. Terapi penggantian nikotin bertujuan untuk menggantikan nikotin yang didapati daripada rokok, supaya keinginan untuk merokok dikurangkan dan supaya para perokok boleh berhenti merokok sama sekali. Kami mengetahui bahawa terapi penggantian nikotin meningkatkan peluang berhenti merokok dan bahawa ia merupakan pilihan popular bagi orang yang ingin berhenti merokok.

Pelbagai cara wujud untuk menggunakan terapi penggantian nikotin. Ulasan Cochrane ini mengkaji pelbagai cara penggunaan terapi penggantian nikotin untuk berhenti merokok, dan mana satu daripada cara-cara tersebut paling berkesan dalam hentian merokok selama enam bulan ataupun lebih lama. Ulasan ini melibatkan 73 kajian dengan 41,509 orang peserta. Semua kajian dijalankan ke atas orang yang ingin berhenti merokok, dan kebanyakannya adalah dalam kalangan orang dewasa. Orang yang meyertai kajian-kajian tersebut secara amnya merokok sebanyak sekurang-kurangnya 15 batang sehari pada masa permulaan kajian.

Para pengarang Cochrane mendapati bahawa penggunaan tampalan kulit nikotin dan sejenis lagi terapi penggantian nikotin yang berbeza (seperti gula-gula getah atau gula-gula) pada waktu yang sama meningkatkan peluang seseorang itu untuk berjaya berhenti merokok, berbanding dengan sekiranya mereka hanya menggunakan satu jenis terapi penggantian nikotin. Sedikit lebih daripada 17% daripada orang yang menggabungkan ubatan tampalan kulit dengan sejenis terapi penggantian nikotin yang lain mampu berhenti merokok berbanding dengan 14% orang yang hanya menggunakan satu jenis terapi penggantian nikotin.

Peluang untuk berhenti merokok dengan berjaya juga meningkat sekiranya mereka menggunakan dos gula-gula getah nikotin yang lebih tinggi (mengandungi sebanyak 4mg nikotin) berbanding dengan gula-gula getah nikotin yang berdos lebih rendah (mengandungi sebanyak 2mg nikotin). Tampalan kulit nikotin yang berdos lebih tinggi (mengandungi sebanyak 25mg atau 21 mg nikotin) mungkin meningkatkan peluang berhenti merokok berbanding dengan tampalan kulit nikotin yang berdos rendah (15mg atau 14mg nikotin), walau bagaimanapun bukti yang lebih banyak adalah diwartakan untuk mengukuhkan kesimpulan ini.

Apabila seseorang berhenti merokok, mereka lazimnya menetapkan satu hari berhenti (‘quit day’), iaitu hari di mana mereka merancang untuk berhenti merokok sama sekali. Bukti wujud yang menyatakan bahawa penggunaan terapi penggantian nikotin sebelum hari berhenti mungkin membantu lebih banyak orang berhenti merokok berbanding dengan penggunaan terapi penggantian nikotin hanya dari hari berhenti tersebut, tetapi lebih banyak bukti adalah diperlukan untuk mengukuhkan kesimpulan ini.

Sesetengah kajian mengkaji keselamatan penggunaan pelbagai jenis terapi penggantian nikotin dan mendapati bahawa sangat sedikit orang mengalami kesan-kesan negatif dan kesan yang dilaporkan juga merupakan kesan kecil, seperti irritasi kulit akibat penggunaan tampalan kulit atau ulser mulut akibat pengunaa gula-gula.Terapi penggantian nikotin dianggap sebagai ubatan yang selamat, tetapi maklumat atas keselamatan penggunaan pelbagai jenis terapi penggantian nikotin yang dibandingkan antara satu sama lain adalah  tidak mencukupi.

Pengarang utama, Dr Nicola Lindson daripada Nuffield Department of Primary Care Health Sciences, University of Oxford, UK menyatakan bahawa: “Terapi penggantian nikotin senang diperolehi daripada kaunter (over-the-counter OTC) bagi orang yang ingin berhenti merokok, tetapi kebanyakan orang tidak menggunakannya dengan terbaik sekali, demikian itu peluang berhenti merokok mereka telah dikurangkan.”

“Bukti berkualiti tinggi ini dengan jelasnya menunjukkan yang cara paling berkesan penggunaan terapi penggantian nikotin adalah dengan penggunaan gabungan dua produk pada waktu yang sama, satu tampalan kulit dengan satu ubatan jenis tindakan pantas sepert gula-gula getah, semburan hidung atau gula-gula. Berhenti merokok secara begini meningkatkan peluang untuk anda berhenti merokok sama sekali. Sesetengah orang risau dengan penggunaan dua jenis terapi penggantian nikotin pada waktu yang sama, tetapi bukti tidak menunjukkan peningkatan risiko kesan-kesan bahaya.” Beliau juga menyatakan bahawa: “ Walaupun cadangan ini telah dimasukkan ke dalam panduan klinikal yang terbaru di UK dan US, penyerapan hasil kajian tersebut ke dalam latihan dan pemberian preskripsi panduan untuk golongan profesional kesihatan, dan nasihat kepada orang yang ingin membeli terapi penggantian nikotin berkemungkinan akan membantu lebih banyak orang untuk berhenti merokok.”

 “Kami cuba untuk menjawab lebih banyak soalan mengenai pengunaan terapi penggantian nikotin, seperti tempoh penggunaan terapi penggantian nikotin , sama ada terapi penggantian nikotin patut digunakan secara berjadual atau apabila dikehendaki sahaja, dan sama ada lebih banyak orang berhenti merokok dengan menggunakan terapi penggantian nikotin apabila ia disediakan secara percuma berbanding dengan sekiranya mereka perlu membelinya. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian adalah diwartakan untuk menjawab soalan-soalan tersebut.”

Ulasan ini diterbitkan oleh Cochrane Tobacco Addiction Group. Kumpulan ini turut menerbitkan bukti yang lain untuk orang yang ingin berhenti merokok, termasuk ulasan sistematik atas rokok elektronik, terapi kelakuan, dan ubatan yang lain untuk berhenti merokok.     

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus).  Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi khoojinghern@hotmail.com