Yoga mungkin mempunyai manfaat kesihatan untuk orang dengan sakit pinggang kronik tidak khusus

Ulasan Cochrane yang diterbitkan di Perpustakaan Cochrane, mencadangkan yoga boleh membuat pengurangan sakit yang kecil dalam kalangan orang dengan sakit belakang kronik tidak khusus untuk jangka pendek. Walau bagaimanapun, para penyelidik menasihatkan bahawa lebih banyak kajian diperlukan untuk memberi maklumat mengenai kesan jangka panjang.

Sakit belakang adalah masalah kesihatan lazim, dan biasanya dirawat dengan jagaan diri dan ubat tanpa preskripsi. Bagi sesetengah orang ia mungkin bertahan selama tiga bulan atau lebih, dan pada masa ini ia dianggap "kronik". Sakit belakang kadangkala dikaitkan dengan sesuatu penyakit atau keadaan, tetapi majoriti kes sakit belakang mempunyai sebab yang tidak diketahui, dan akhirnya digambarkan sebagai tidak khusus. Garis panduan terkini menyatakan bahawa terapi senaman mungkin bermanfaat, khususnya yoga kadangkala digunakan sebagai rawatan.

Yoga telah mendapat populariti global sebagai satu bentuk latihan rohani dan jasmani, dengan manfaat gaya hidup umum, dan kajian terbaru telah meneliti potensi yoga untuk melegakan gejala masalah yang berkaitan dengan belakang.

Ulasan Cochrane baharu meringkaskan keputusan 12 kajian rawak melibatkan 1,080 lelaki dan wanita dengan purata umur di antara 34 dan 48 tahun. Kajian dilakukan di India, UK, dan AS. Semua peserta mempunyai sakit belakang kronik yang tidak spesifik.

Para penyelidik Cochrane membandingkan amalan yoga di dalam kelas dengan tidak melakukan senaman yang memfokuskan belakang. Lima kajian membandingkan yoga dengan senaman memfokuskan belakang, atau menambahkan yoga untuk program senaman yang memfokuskan belakang. Semua intervensi yoga yang digunakan direka khusus untuk rawatan sakit belakang, dan disediakan oleh guru yang berpengalaman dan berkelayakan.

Mereka mendapati bahawa berbanding dengan tiada senaman, latihan yoga mungkin dapat memperbaiki fungsi yang berkaitan dengan belakang dan mengurangkan sedikit gejala sakit belakang. Walau bagaimanapun, kajian yang lebih besar dan lebih kukuh diperlukan untuk membuat kesimpulan yang kukuh tentang manfaat kesihatan jangka panjang yoga.

Pasukan penyelidik juga menemui bukti terhad bahawa, berbanding dengan tidak melakukan senaman fizikal, yoga boleh meningkatkan fungsi belakang selepas enam bulan dan pengurangan sakit yang kecil selepas tiga bulan. Kesan jangka panjang yoga terhadap sakit belakang adalah kurang pasti, kerana terdapat beberapa kajian-kajian yang melihat tempoh susulan selepas 12 bulan. Walau bagaimanapun, yoga dikaitkan dengan lebih banyak kesan sampingan daripada tidak melakukan sebarang senaman. Lebih 5% lagi peserta yoga mengalami peningkatan sakit belakang, walaupun ini dilihat sama dengan risiko mengalami kesan sampingan dari senaman memfokuskan belakang yang lain.

Penulis utama Cochrane Susan Wieland dari Perubatan Komplementari Cochrane di Pusat Perubatan Integratif, Sekolah Perubatan Universiti Maryland, Maryland, mengulas penemuan mereka menunjukkan senaman yoga boleh mengurangkan sedikit gejala sakit belakang, tetapi keputusan-keputusan tersebut adalah dari kajian dengan tempoh susulan yang pendek. Pada masa ini, mereka hanya mempunyai bukti berkualiti sangat rendah untuk kesan yoga sebelum enam bulan sebagai satu jenis senaman untuk membantu orang dengan sakit belakang kronik. Latihan yoga yang diamalkan dalam kajian-kajian tersebut telah dibangunkan untuk sakit belakang, tetapi orang ramaijuga harus ingat dalam setiap kajian yang diulas, kelas yoga dipimpin oleh pengamal yang berpengalaman. Penemuan ulasan Cochrane ini akan membantu orang membuat pilihan termaklum mengenai pilihan rawatan masa depan mereka.

Mengenai Cochrane

Cochrane adalah rangkaian bebas penyelidik global, profesional, pesakit, penjaga, dan orang yang berminat dalam kesihatan.

Cochrane menghasilkan ulasan yang mengkaji semua bukti terbaik yang diperoleh melalui penyelidikan dan memudahkan membuat keputusan tentang kesihatan. Ia dipanggil ulasan sistematik.

Cochrane adalah organisasi bukan untung dengan para kolaborator lebih dari 130 buah negara yang bekerjasama untuk menghasilkan maklumat kesihatan yang boleh dipercaya dan bebas diakses daripada penajaan komersial dan konflik kepentingan lain. Kerja mereka diiktiraf sebagai mewakili standard emas antarabangsa untuk maklumat berkualiti tinggi yang dipercayai.

Ketahui lebih lanjut di cochrane.org

Ikuti kami di twitter @cochranecollab

Mengenai Wiley

Wiley, sebuah syarikat global, membantu orang dan organisasi membangunkan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya. Jurnal saintifik, teknikal, perubatan, dan jurnal ilmiah dalam taliannya, digabung dengan pembelajaran, penilaian dan solusi pensijilan secara digital, membantu universiti, masyarakat, perniagaan, kerajaan dan individu meningkatkan impak hasil kerja akademik dan profesional. Selama lebih 200 tahun, mereka telah menunjukkan prestasi yang konsisten kepada pihak berkepentingan. Laman web syarikat boleh diakses di www.wiley.com.

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).